Batas - Batas Pergaulan



Pendahuluan

  Seperti yang kita sedia maklum, pergaulan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram pada prinsipnya tidak dilarang dalam Islam akan tetapi ia hendaklah berlaku di dalam lingkungan batasan-batasan yang telah ditetapkan. Sebagai seorang manusia kita pasti akan terlibat dengan pergaulan di antara lelaki dan perempuan untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab atau urusan dalam kehidupan seharian. Tujuan penulisan kami ini adalah kerana fenomena pergaulan bebas di kalangan individu khususnya para pelajar yang menyebabkan akhlak seseorang manusia itu semakin rosak dan tidak dapat dibendung. Sebagai contohnya ialah pergaulan bebas di antara remaja lelaki dan perempuan pada masa kini hingga menyebabkan semakin kerapnya berlaku kes-kes maksiat, pembuangan bayi dan sebagainya yang melibatkan pelajar-pelajar serta para remaja pada masa kini.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Orang-orang yang terbaik di antara kamu ialah orang-orang yang paling lanjut usianya di antara kami dan yang paling baik di antara kamu dari segi akhlaknya’’.




PENGERTIAN PERGAULAN

Pergaulan dalam bahasa Arab disebutkan ikhtilat berasal daripada kalimah khalata yakhlutu khaltan” yang bererti bercampur. Pergaulan merupakan proses interaksi yang berlaku diantara seseorang individu dengan individu, individu dengan masyarakat. Pergaulan juga merujuk proses sosialisasi antara sesama manusia. Oleh itu, Islam meneterapkan peraturan-peraturan pergaulan antara sesama manusia di antara lelaki dengan perempuan.





BATAS - BATAS PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN DALAM ISLAM

Sebelum membincangkan batas - batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam Islam, perkara penting yang perlu diambil berat ialah tentang aurat bagi lelaki dan perempuan. Dari sudut fiqah, aurat merujuk bahagian tubuh yang wajib dilindungi daripada pandangan. Perintah allah supaya menutup aurat terdapat dalam surah al-A’raf ayat yang ke-26 yang menjadi dalil wajib menutup aurat.


               

1. Aurat Lelaki : Jumhur Fuqaha daripada al-Syafi’iyyah, al-Malikiyah dan al-Hanabilah berpendapat bahawa aurat bagi lelaki adalah antara pusat hingga lutut. Namun demikian, lelaki ialah wajib menutup anggota yang terdekat dengan pusat dan lutut supaya ‘aurat’ yang wajib itu dapat dijaga dengan sempurna.

2. Aurat Wanita : Ulama Muslimin berpendapat bahawa aurat bagi wanita ialah keseluruhan badan, selain muka dan kedua-dua tapak tangannya (Maududi, 1995)

3. Pakaian Lelaki : Pakaian lelaki hendaklah longgar dan sehingga tidak menampakkan apa-apa yang hendak dilindungi. Selain itu, pakaian lelaki tidak boleh menyerupai pakaian wanita dan tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir. Tujuan berpakaian bukanlah untuk tujuan kebanggaan mencari kemasyhuran, tetapi menurut syariat Islam.

4. Pakaian Wanita : Pakaian wanita mestilah pakaian yang menutup semua anggota badan kecuali bahagian muka dan tapak tangan seperti yang dibenarkan dalam Islam. Pakaian wanita mestilah longgar supaya tidak menampakkan susuk tubuh.


Batas-batas pergaulan yang diperintahkan oleh Allah SWT bertujuan untuk menghalang perbuatan serong hamba-hambaNya dalam pergaulan diantara lelaki dan perempuan. Sekiranya dunia ini tidak ada interaksi di antara lelaki dan perempuan. Maka tidak berkembanglah sesuatu umat jika lelaki hanya berinteraksi dengan kaum lelaki sahaja dan perempuan berinteraksi dengan kaum perempuan sahaja. Sekiranya hal ini berlaku, maka tidak akan berkembanglah generasi cucu cicit Nabi Adam di dunia ini. Dalam Islam, pergaulan di antara lelaki dan wanita diharuskan.






Terdapat beberapa batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan menurut Islam
1. Menundukkan pandangan: 
  •   Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan. Allah SWT memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya
  •   Sebagaimana firman-Nya; Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka…”.
  •   Bagi kaum perempuan juga Allah s.w.t memberi peringatan-Nya sebagaimana maksud Surah An-Nur ayat 31 “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak tengok) setengah dari pandangan mereka…” dari kedua-dua ayat itu kita dapat menafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja.

2. Menutup aurat:
  •   Allah berfirman dan jangan lah mereka mennampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kaintudung ke dadanya. (an-Nuur : 31). Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlahkepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.
  •   Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (an-Nuur: 59). Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis.
  •  Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.


3. Pertemuan:
  •   Maksud pertemuan di sini ialah di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi. Kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat. 
  •   Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)
  •   Dari hadis di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.


4. Percakapan atau perbualan:
  •   Percakapan atau perbualan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh mendatangkan syak wasangka. Dalam soal ini bukan bermakna antara lelaki dan perempuan tidak untuk bergaul dan bercakap-cakap, Islam tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah mempunyai tujuan yang tertentu atau urusan yang penting sahaja. 
  •   Menurut Islam hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Siti Aisyah r.a ada berkata: “…demi Allah, tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan.” (Riwayat Imam Ahmad)
  •   Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya. Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya”. Dari hadis di atas dapatlah kita mentakrifkan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah dilarang keras Allah SWT.


Contoh - Contoh Perkara Negatif Yang Terjadi Disebabkan Oleh Pergaualan Bebas 


1. Terjebak dengan kancah dadah

Pada masa kini sudah berpuluh-puluh juta orang di dunia yang telah dijangkiti dengan dadah atau narkotik dan ubat-ubatan berbahaya. Sebahagian besar daripada mereka adalah generasi muda yang terjebak dalam pergaulan bebas yang tidak sihat ini kerana salah dalam memilih rakan. Seperti yang kita sedia maklum, dengan mengambil dadah dapat meningkatkan  kenikmatan dan kepuasan, tetapi kenikmatan tersebut hanya bersifat sementara sahaja. Sedangkan kesan negatif daripada dadah ini boleh menyebabkan berlakunya pelbagai masalah seperti masalah kesihatan akan terjejas, akan mengalami masalah kekurangan kewangan yang menjejaskan keperluan perbelanjaan seharian dan menyebabkan seseorang jndividu itu terjebak dengan pelbagai kesalahan undang-undang di sebabkan oleh pengaruh dadah yang mengkhayalkan serta tidak dapat berfikir dengan akal yang waras seperti gangsterisme, vandalisme dan sebagainya.

 
2. Meminum minuman yang haram
Minuman keras atau alkohol merupakan zat yang selama ini paling mudah didapati tetapi telah disalahgunakan oleh manusia. Oleh kerana itu ia diharamkan dalam Islam, kerana boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara negatif sama seperti dadah. Meskipun terdapat pelbagai kesan-kesan sampingan yang tidak sihat tetapi masih ramai lagi yang mengambilnyaPeminum-peminum arak menjadikannya sebagai satu alat untuk melepaskan tekanan diri atau perkara-perkara yang merungsingkan diri yang berlaku dalam kehidupan seharian. Mereka menganggap dengan meminum minuman beralkohol ini dapat menghilangkan segala tekanan hidup, tetapi ia adalah sebaliknya.

 

3. Seks Bebas

Salah satu perkara negatif yang memberi impak paling besar dalam pergaulan bebas ialah berlakunya seks bebas yang kian menular pada masa kini. Terdapat pelbagai lapisan umur yang terjebak dengan gejala negatif ini bermula dari kalangan pelajar atau remaja sehinggalah ke orang dewasa. Antara kesan yang membahayakan diri ialah mudah dijangkiti penyakit seperti HIV atau AIDS. Penyakit berbahaya seperti kanser juga boleh muncul akibat melakukan seks bebas. Selain itu, masih banyak penyakit berjangkit lain yang bakal muncul kerana sering melakukan hubungan seks tidak sihat serta suka berganti-ganti pasangan.


4. Kehidupan Malam

Waktu malam adalah waktu yang sesuai untuk kita berehat dan beribadat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT setelah penat bekerja atau belajar pada siang hariWalaubagaimanapun masih terdapat lagi segelintir manusia yang sanggup menghabiskan waktu malamnya dengan perkara yang tidak berfaedahSebagai contohnya, pergi ke tempat-tempat hiburan malam, seperti  night club,  cafe, pub, mahupun disko. Tempat seperti ini merangkumi segala perkara-perkara negatif di atas, dimana kita boleh lihat betapa ramainya manusia yang dalam keadaan khayal serta mabuk di sebabkan oleh dadah dan arak serta seks bebas yang begitu melampau dan tidak terkawal.

Kesimpulan
Semua pihak hendaklah memainkan peranan yang penting bagi mengatasi masalah pergaulan bebas yang kian merebak ini, melibatkan individu, masyarakat, agama dan negara. Selain itu, seperti yang kita ketahui pergaulan bebas ini memberikan impak yang negatif berbanding positif dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Kesannya kepada individu tersebut seperti mudah terjerumus ke lembah penzinaan. Kesan kepada masyarakat pula terpaksa menahan malu melihat segelintir manusia yang tidak berperikemanusiaan ini dalam menyelesaikan masalah mereka seperti membuang bayi sesuka hati seperti membuang sampah.

Tambahan lagi, kesan kepada negara pula terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk peruntukan untuk membina tempat perlindungan bagi remaja perempuan yang mengandung anak luar nikah dan bayi yang dibuang. Semua ini tanpa kita sedari, merupakan satu masalah yang melibatkan seluruh pihak di negara tersebut.
Terdapat pelbagai kaedah untuk kita dalam menangani masalah pergaulan bebas daripada berleluasa.

Antaranya ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka dengan mengajar dan menunjukan contah tauladan yang baik kepada anak mereka. Seperti kata pepatah mencegah lebih baik daripada merawat. Para remaja juga haruslah mengambil inisiatif dengan lebih mempelajari agama Islam dan mengukuhkan iman mereka agar tidak terpesong dari landasannya.

Konklusinya, pergaulan bebas tidak akan terjadi jikalau semua pihak membanting tulang mencegah aktiviti ini daripada berleluasa dan tiada sifat pentingkan diri dalam diri mereka. Kita haruslah mencegah perkara ini daripada ia terus merosakan akhlak remaja dan janganlah kita tunggu sehingga Allah S.W.T yang menurunkan bala bencana.



Rujukan :

1) Al Quran & Hadis
2) Buku Komunikasi dan Penyiaran dalam Islam (Oxford Fajar)
5) docslide.net/documents/etika-pergaulan-dan-batas-pergaulan-menurut-islam.html

Comments

Popular posts from this blog

Kesantunan Bahasa

Hiburan Melampau

Keprihatinan Sosial