Kejiranan
Konsep Jiran
Dalam era globalisasi yang semakin maju ini, masyarakat telah didedahkan oleh pelbagai teknologi yang semakin canggih sehinggakan nilai kemasyarakatan antara manusia itu sendiri semakin longgar. Antara aspek yang semakin dilihat kian menurun ialah aspek kejiranan. Jiran ialah orang yang tinggal disekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Islam yang merupakan sebuah agama yang syumul (menyeluruh) dan lengkap turut menitikberatkan adab-adab terhadap jiran tetangga. Inilah keistimewaan agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW kerana ia bukan sahaja menekankan aspek ketuhanan, bahkan turut merangkumi aspek sesama manusia.
Pembahagian Jiran
Islam membahagikan jiran kepada beberapa bahagian iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah, jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah dan jiran bukan Islam. Dalam erti kata lain jiran jauh dan dekat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisa’ ayat 36 iaitu :
Maksud-Nya : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya mu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.
Adab-Adab Berjiran
Antara adab-adab berjiran yang boleh dilakukan bagi megekalkan semangat kejiranan adalah dengan sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat menghormati antara satu sama lain. Antara caranya ialah dengan memulakan salam jika bertemu dengan sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Sentiasa bertoleransi samada yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.
Selain itu, tidak menyakiti mereka samada melalui perkataan, perbuatan, atau sekadar sangkaan buruk. Jiran yang jahat dan tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga hitam yang telah dirasuk syaitan sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain. Sebagai seorang jiran juga, hendaklah sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan mengormati mereka sebagai manusia. Melalui pertemuan bersama jiran hendaklah sentiasa merendahkan diri dan berlemah lembut dengan mereka dan mengelak diri dari bersikap takbur.
Adab berjiran boleh diaplikasikan juga dengan menyayangi mereka seperti mana kita menyayangi diri kita sendiri. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka, selagi tidak bertentangan dengan syariat agama dan sama-sama berusaha mennghindarkan perkara-perkara mereka tidak sukai. Sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap segala permasalahan yang sedang dihadapi jiran adalah salah satu adab berjiran. Contohnya, jika jiran menghadapi masalah seperti keagamaan, kekeluargaan atau rumah tangga, kejiwaan, kesihatan, pelajaran, kewangan, makan minum, dan sebagainya hendaklah kita membantu mereka setakat kemampuan yang kita ada dan sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia sesame jiran sehingga akhirnya melahirkan perhubungan kejiranan yang lebih mesra dan lebih akrab.
Kepentingan Berjiran
Sebagai permulaan mengenai kepentingan hidup berjiran ialah melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan . Hal ini demikian kerana apabila seseorang itu mengamalkan kehidupan berjiran secara tidak langsung individu tersebut akan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan. Individu yang mengamalkan kehidupan berjiran pasti akan turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di kawasan tempat tinggal mereka. Sebagai contoh, penduduk melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggal. Melalui aktiviti ini seluruh penduduk akan bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk membersihkan kawasan tempat tinggal mereka. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah mengecat dinding, membersihkan longkang dan memotong rumput. Aktiviti seperti ini mampu mengeratkan silaturahim dan menjalin ukhwah antara penduduk seterusnya membasmi penyakit yang merbahaya. Berdasarkan mauduk yang dihuraikan, terbuktilah bahawa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan merupakan salah satu kepentingan hidup berjiran.
Di samping itu juga, kepentingan hidup berjiran ialah menjaga keselamatan kawasan tempat tinggal. Hal ini demikian kerana jiran merupakan orang yang paling hampir dengan kita untuk meminta pertolongan sekiranya berlaku kecemasan atau mala petaka. Apabila sesebuah masyarakat itu mengamalkan kehidupan berjiran sudah pasti mereka akan bersama-sama dan berusaha menjaga keselamatan kawasan tempat tinggal mereka. Rukun Tetangga seharusnya diwujudkan di setiap kawasan tempat tinggal bagi menjaga keselamatan setiap penduduk. Dalam konteks ini, penduduk akan mengawal kawasan tempat tinggal mereka secara bergilir-gilir. Penduduk akan bekerjasama untuk membanteras kegiatan jenayah seperti pecah rumah dan aktiviti vandalisme di kawasan tempat tinggal mereka. Oleh itu, keselamatan penduduk akan lebih terjamin dengan wujudnya kehidupan berjiran dalam kalangan masyarakat. Berdasarkan hujah yang dihuraikan, jelaslah bahawa menjaga keselamatan kawasan tempat tinggal merupakan salah satu kepentingan hidup berjiran.
Kepentingan hidup berjiran juga dapat dilihat melalui aspek memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana di sesebuah kawasan tempat tinggal pasti mempunyai pelbagai kaum. Dalam konteks ini, penduduk berbilang kaum yang mengamalkan hidup berjiran akan mempunyai hubungan silaturahim yang erat dan baik. Apabila tiba musim perayaan, mereka akan mengunjungi rumah antara satu sama lain sekai gus memahami budaya dan adat sesebuah kaum. Sebagai contoh, kaum India dan kaum Cina mengunjungi rumah kaum Melayu semasa perayaan Hari Raya. Dalam hal ini, mereka akan berbual-bual dan berkongsi pengetahuan tentang agama dan budaya masing-masing. Perpaduan antara kaum dapat diwujudkan sekali gus dapat menjamin keharmonian hidup. Berdasarkan hujah yang dinyatakan, terbuktilah bahawa memupuk perpaduan merupakan salah satu kepentingan hidup berjiran dalam kalangan masyarakat kerana mampu memanifestasikan elemen kesepakatan.
Langkah –langkah meningkatkan semangat kejiranan
Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Usaha sama sebegini yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan janganlah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya, kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.
Tambahan pula, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan. Media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah. Sesungguhnya, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar disokong. Justeru, semangat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.
Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan negara jiran. Malahan, menurut laporan majalah ‘The Times’ di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara aktiviti yang terbaik di dunia.
Kesimpulan
Semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan.
Justeru, Islam menekankan umatnya menjaga hubungan dalam kehidupan bermasyarakat dan ia tidak terbatas kepada sesama masyarakat Islam, malah melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit dan bahasa pertuturan. Dalam kejiranan, umat Islam wajib mengekalkan hubungan baik dan menyemai kemesraan kerana sifat sebegitu akan membentuk kehidupan aman dan harmoni, malah jika berdepan masalah, ia diselesaikan dengan baik. Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” (an-Nisaa’: 36)
Lampiran
Rujukan
Comments
Post a Comment